Jom Pakat Belajaq!!!


Sebagai umat islam, kita dituntut menuntut ilmu, malah menjadi tuntutan yang amat penting. Dengan ilmu kita akan lebih mengenal tuhan, dengan ilmu kita akan melakukan ibadah dengan betul.

Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya:

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.

(al-Faatir: 28)

Tidak kiralah apa jenis ilmu yang kita belajar, yang pasti ilmu yang kita belajar dapat melahirkan ketakwaan kita kepada Allah. Takut kepada Allah. Sebagai pelajar perubatan, peluang kita untuk mendekati Allah lagi besar. Kerana apa? Kerana kita mengkaji tentang ciptaan Allah. Justeru kitalah yang lebih dekat padaNya.

Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir

(al-Jathiya;13)

Dalam hadis nabi juga turut menerangkan kepentingan menuntut ilmu. Malah Nabi ,melarang kita tidak memperkayakan diri dengan ilmu.

”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”
(Riwayat al-Bazzar)

Huraian
Pengajaran hadith
:

  • Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu.
  • Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :
  1. Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain.
  2. Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu).
  3. Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.
  4. Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.
  • Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.
  • Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘bodoh sombong’ maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.
Adapun, orang alim yang tidak merasakan takut kepada Allah dengan ilmu yang dipelajarinya itu bukan orang alim yang sebenarnya.
Lebih lebih lagi orang alim yang inginkan kemewahan, dan takbur serta bongkak dengan ilmunya.

Ilmu sebegini akan menjadi hujah kepadanya serta akan memberi balasan dan azab yang teruk di akhirat nanti. Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata,

“Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati”.

Nauzubillah, berdoalah pada Allah tidak termasuk dalam golongan itu. Kerna apa? orang sebegini hanya inginkan dunia dan mengenepikan akhirat.

“Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)”.

(riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)


Ada orang hanya mencari ilmu dunia sahaja, lalu meninggalkan ilmu akhirat. Adapun juga orang yang hanya mencari ilmu akhirat sahaja sehingga dunia terabai. Kita hendaklah menjadi umat yang adil, iaitu tidak berat sebelah ke dunia mahupun ke akhirat, tetapi seimbang keduanya.

Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.

(al-Rum: 7)

Konklusinya, sebagai umat islam, menuntut ilmu ialah perkara yang dititikberatkan dalam agama. Justeru, ingatlah, orang yang bercakap tentang ilmu, tetapi tidak beramal dengannya diumpamakan

"orang yang sentiasa mensucikan dirinya dengan berwuduk, tetapi tidak pernah menunaikan solat"

Waallahua'lam

3 comments:

asrar qalbi said...

~ilmu penyuluh hidup..nur dalam kehidupan insan..dalam kalamullah pon sudah termaktub bahawa sesungguhnya Allah akn meninggikan darjat org yang b'ilmu..insyallah manfaat bersama..wallahualam.

Abdullah said...

Sama samalah kita amik bermanfaat. takut gak jd org yg seperti saidina umar kata tu.
Nauzubillah~

abdullah said...

thx sanin. byk nasihat aku. naik smngat aku

Post a Comment